Dari Puan Saliza
BAB 3 PENGENALAN BIDANG WACANA
3.0 PENGENALAN
Bidang wacana merupakan bidang yang baru di Malaysia. Ia lebih menjurus kepada bahasa ujaran penggunaan sebenar dalam konteks sosial dan budaya. Apabila sesuatu wacana dikaji, kita akan dapat memahami apa yang ingin disampaikan kepada pendengar mahupun pembaca. Wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, siri buku dan seterusnya. Malahan satu perkataan juga boleh jadi wacana dalam konteksnya.
Dari sudut fungsinya, wacana merupakan satu fokus khusus tentang penggunaan bahasa. Ini kerana wacana merupakan penggunaan bahasa yang sebenarnya dalam konteks situasi pertuturan.
Pada umumnya, ayat berfungsi sebagai satu unsur dalam kesatuan yang dilahirkan oleh jalinan ayat-ayat yang menyampaikan maklumat tentang sesuatu topik. Apabila kesatuan ini memperlihatkan hubungan yang bergabung secara logikal di antara butir-butir fikiran dan perkembangan akaliah di dalamnya, kesatuan ini dinamakan wacana atau teks. Data sebenar itulah yang dinamakan sebagai wacana.
3.1 KLASIFIKASI WACANA
Media penghasilan
Jenis wacana yang dihasilkan
Media penghasilan
a) Lisan (spoken) sangat produktif dalam kehidupan
turut dilestarikan melalui alat sebaran am (tv, radio, dll)
untuk memahami wacana lisan, penerima (sasaran) itu perlu mendengarnya.
b) Tulisan (written)- disampaikan oleh pengguna secara bertulis
pewacana tidak mempunyai konteks langsung dengan pembaca dan dari segi tempoh masa.
penulis ambil masa yang panjang untuk menghasilkan wacana tersebut.
kerap juga dikaitkan dengan monolog non-interaktif
ini kerana secara luaran monolog mungkin bersifat satu hala manakala wacana lisan kerap dikaitkan sebagai wacana interaktif
3.2 JENIS WACANA YANG DIHASILKAN
a)Laporan
Beri/dedahkan maklumat tentang sesuatu perkara
Setiap penutur tunggal
Kedudukan (wibawa, autoriti) penutur tidak setara dengan khalayak
Tema ditentukan
Lazimnya pelaporan mengikut kronologi perbandingan keadaan, rujukan, pada peristiwa yang berlaku dan konsep berterusannya berlaku sesuatu perbuatan.
b) Pemerihalan
· Merupakan lanjutan daripada laporan dan lebih terperinci
· Pewacana berharap dapat pindahkan keseluruhan idea/mesej kepada khalayak bagi menimbulkan gambaran yang jelas dan memperoleh kefahaman.
· Wacana yang memerlukan penghuraian tentang sesuatu isu atau masalah.
c) Penjelasan
· Lebih mendalam daripada deskripsi
· Lazimnya beri penjelasan sebab dan akibat
· Wacana majikan dan pekerja, guru dan murid, kementerian dengan masyarakat.
d) Penghujahan
· wacana yang banyak menggunakan proses mental yang mempunyai penaakulan (reasoning)
· Ada yang menamakannya PEMUJUKAN RASIONAL (rasional atau tidak rasional) contoh : Iklan
· Merupakan permulaan pendapat wacana tentang sesuatu perkara berdasarkan fakta-fakta yang diketahui. Fakta-fakta itu diproses untuk dijadikan hujah dengan ambil kira keselarasannya dengan idea yang hendak diucapkan.
e) Tunjuk cara.
· Banyak digunakan dalam buku panduan atau mengenai sesuatu (contoh: manual, resipi)
f) Pendedahan
· Wacana berita (media massa atau media elektronik)
· Wacana media massa banyak menggunakan tanda baca untuk menggantikan perkataan yang dipotong dalam memastikan pembinaan ayat-ayatnya masih difahami oleh pembacanya.
g) Penceritaan
· Narasi atau naratif
· Unsur peristiwa yang disampaikan secara kronologi.
· Lebih daripada laporan dan mempunyai ciri cerita.
· Wacana cerpen atau novel
3.3 KOHEREN
Koheren merujuk kepada pertalian yang wujud di antara satu unsur dengan unsur yang lain dalam satu ayat dan satu perenggan dengan perenggan yang lain. Unsur-unsur inilah yang kita telah bincangkan iaitu analisis kohesi. Melalui analisis kohesi yang terdiri daripada leksikal dan nahu, kita dapat melihat koheren ayat/perenggan dalam sesebuah petikan. Untuk kita memahami lebih makna koheren, anda perlu mengetahui ciri-ciri wacana:
Ciri-ciri wacana mengikut Beaugrande dan Dressler (1981):
1. Bertautan:
-tautan ialah perhubungan ayat dengan ayat antara satu sama lain melalui aspek tatabahasa/nahu dan leksikal. Dengan mengkaji kedua-dua unsur ini, petikan teks itu jelas mempunyai koherensi. Maknanya, petikan itu masih menceritakan makna yang sama walaupun penggunaan perkataan/leksikalnya berbeza.
2. Bertujuan:
-Setiap ayat dalam sesebuah perenggan mesti menunjukkan tujuannya. Maksudnya, setiap penulisan mesti mempunyai tujuan penulis atau untuk pembacanya. Misalnya, petikan akhbar tentang Kempen Melawat Malaysia 2007, penulis mesti mengutarakan tentang kempen tersebut, apa yang dipromosi, atau apa sahaja yang berkait. Dan menepati dengan sasaran khalayaknya, pembaca (dalam atau luar negara).
3. Bermaklumat:
-Setiap teks mestilah mempunyai maklumat. Maklumat yang dimaksudkan ialah maklumat baru. Maklumat baru ialah maklumat yang tidak mengalami pengulangan dalam teks. Jika pernah diulang, maklumat itu dipanggil maklumat lama. Untuk memastikan teks itu mempunyai maklumat baru, kita boleh melihatnya sewaktu analisis kohesi. Maksud pengulangan bukan bermakna perkataan itu diulang tetapi maksud ayat yang diulang-ulang. Jika banyak maklumat lama, maka teks itu tidak koheren.
4. Berketerimaan
-Teks yang baik ialah teks yang boleh diterima oleh khalayaknya. Ini kerana teks dihasilkan untuk dibaca oleh sasaran khalayaknya. Jika hasil tulisan itu tidak dibaca atau didengar, maknanya mereka tidak menerima teks tersebut. Secara tidak langsung, ia menjaga nilai teks itu.
5. Berurutan:
-teks itu dapat dilihat dari aspek jalinan fikiran atau idea yang dikembangkan untuk membentuk jalan cerita, peristiwa, atau maklumat. Jika terdapat penyelewengan dari segi idea yang disusun sudah tentulah idea itu tidak akan berurutan. Para khalayak sudah pasti tidak akan memahami yang dibaca atau disampaikan kepadanya.
6.Berkeadaan:
-Sesebuah teks itu dilihat dari aspek penyampaiannya. Cara penyampaiannya sesuai ataupun tidak dengan situasi penyampaian atau ujaran. Maknanya, jika khalayak itu merupakan kanak-kanak, sesuaikah penyampaiakan teks yang dibaca atau didengar itu mengikut kelayakan umur mereka. Penggunaan perkataan, jalan cerita, idea dan sebagainya dikira untuk melihat aspek keadaannya.
7. Keutuhan
-Maksud wacana utuh ialah wacana yang tidak mengulangi maksud ayat sebelumnya.
Contoh:
Dia membaca sepanjang hari. Dia membaca dari pagi hingga ke petang.
-Wacana ini tidak utuh kerana mengulangi maksud ayat sebelumnya. Frasa sepanjang hari diulang semula melalui frasa dari pagi hingga ke petang.
No comments:
Post a Comment