Bulan Rejab : Apakah Fadilatnya Melebihi dari Bulan-bulan yg lain?
Untuk mengetahui apakah amalan-amalan sempena Rejab sila ke
http://akob73.blogspot.com/2008/06/artikel-tentang-bulan-rejab.html
Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam.
Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan mi'raj Nabi Muhammad saw. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual di mana mereka mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.
Tarikan dan seruan yg ditiup kedalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadat kebanyakkannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis-hadis yg mengandungi Fadilat-Fadilat beribadat di dalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yg mengandungi fadilat-fadilat bulan Islam begitu laris dipasaran menjelang bulan Rejab.
Begitu juga di zaman era Internet ini (ICT), e-mail dan maling list yg diforwardkan mengandungi 'cut & paste' dari fadilat-fadilat Rejab yg terkandung di dalamnya. Rata-rata tarikan fad'il (fadilat-fadilat) inilah merupakan faktor penarik kepada kebiasaan orang awam untuk melakukan ibadat sunat. Injeksi faktor ini dapat kita lihat dengan jelas penerapannya di dalam budaya Melayu-Islam seperti rangkap-rangkap sya'ir di bawah ini:[1]
Rejab bulan menabur benih Sya'ban bulan menyiram tanaman Ramadan bulan menuai
Rejab menyuci badannya Sya'ban menyucikan hati Ramadan menyucikan rohnya
Rejab bulan marghfirah Sya'ban bulan syafaat Ramadan bulan menggandakan kebajikan
Rejab bulan taubat Sya'ban bulan muhibbah Ramadan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya
Rejab digandakan 70 pahala Sya'ban diganda 700 pahala Ramadan diganda 1000 pahala
Mungkin timbul beberapa persoalan yg tersimpan di dalam lubuk hati kita: -mengapa bulan Rejab sahaja yg dipilih mempunyai kelebihannya?
Pernah atau tidak kita terfikir yg mungkin berita-berita ini ditokok tambah (exaggerate) oleh manusia biasa yg bercakap atas nama Nabi saw?
Mengapa di dalam bulan ini terdapat solat-solat khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan peribadatan? Di sini kita ingin membawa beberapa penjelasan dari ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadilat yg terdapat didalam bulan itu sendiri, dan apakah sebenarnya fadilat yg terkandung didalam Rejab.
-------------------
Bulan Rejab merupakan satu bulan dari bulan-bulan Haram Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' didalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firmah Allah swt di dalam Surah Al-Taubah ayat 9: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.
Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."
Menurut Tafsir Jalalain, yg dimaksudkan dengan "di antaranya empat bulan yg dihormati" ialah: "Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab"[2]
Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Didalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji dijalankan (Zulhijjah), di mana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yg tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah saw juga menggalakan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 hb Muharam).
-------------
Apakah terdapatnya kesahihan fadilat khas berpuasa didalam bulan Rejab?
Disini nyatakan pandangan para ulama' mengenai kesahihan fadilat Rejab.
1. Sheikh Atiyah Al-Saqr.
a. Kebanyakkan fadilat Rejab terkandung didalam Hadis yg sangat Lemah dan Palsu.
Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yg sahih dan beliau melihat bahawa hadis-hadis yg didatangkan mengenai fadilat di dalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya:[3]
"Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi fadilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yg qath'i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta keatas Nabi Muhammad saw, dan banyak hadis-hadis timbul mengenai fadilat bulan Rejab, di mana statusnya antara Dha'if dan Mawdhu', dan tidak thabit dari pembawanya (naqal)."
Menurut Al-Saqr lagi bahawa:
"Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan di dalam risalahnya dengan topiknya: Penjelasan yg datang di dalam Fadilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadis menyebut mengenai Fadilat-Fadilat Rejab, Puasa dan Solat di dalamnya. Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu"
b. Fadilat Rejab berada bersama dengan Fadilat bulan-bulan haram yg lain.
Fadilat Rejab secara umumnya berada di dalam Fadilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah di dalam surah Taubah:36 dan terdapat juga Hadis Sahihin mengenai Hijatul Wada', di dalamnya dinyatakan nama bulan bulan tersebut, iaitu: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yg tunggal ialah Rejab. Di masa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah swt.
c. Berpuasa hari pertama atau yg lain sama sahaja fadilatnya.
Berkata Al-Saqr lagi bahawa: "Amalan Saleh di dalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya di dalam bulan-bulan Haram, yg didalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir.
Berkata Ibnu Hajar: 'Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai fadilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Sahih atau Hasan'."
Beliau memetik beberapa hadis da'if dan palsu, diantaranya ialah:
i. "Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu" - hadis ini Dha'if.
ii. "Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yg berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari mka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan" - hadis ini Dha'if.
iii. Terdapat sebuah hadis yg panjang mengandungi fadilat berpuasa rejab menurut hari, dan di dalamnya terkandung matan:
"Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku" - Hadis ini palsu.
d. Tidak ada solat khas di dalam Rejab.
Daripada Hadis yg tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat:
"Barangsiapa yg solat Magrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab." - Itu adalah hadis Mawdhu'
e. Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya:
Mengenai fadilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al-Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya di dalam Islam. Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah-sejarah yg berlaku dibulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya.
"Ini adalah manusia yg prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama di dalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya di dalam agama, dan ganjaran yg besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini.
Adalah lebih aula di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yg berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Salahuddin Al-Ayobi menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran darinya, di mana orang Islam menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab. Allah yg Maha Mengetahui."
2. Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi
a. Fadilat Rejab sama dengan fadilat bulan-bulan haram yg lain
Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa fadilat Rejab adalah sama seperti yg terdapat di dalam 3 bulan-bulan Haram yg lain. Katanya [4]: "tidaklah ada kesahihan di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, bahawa Allah swt telah menyebut didalam kitabnya - di dalamnya ada 4 bulan haram - Al-Taubah:36. Iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Itulah bulan-bulan yg mempunyai fadilat.
Tidak terdapat Hadis Sahih bahawa Rejab khusus mengatakan Rejab lebih afdal, melainkan Hadis Hasan: "Sesungguhnya Nabi saw banyak berpuasa di dalam Sya'ban.."
b. Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakkannya lemah dan palsu.
Beliau juga menyatakan bahawa hadis-hadis mengenai fadilat-fadilat khas Rejab kebanyakan merupakan Hadis Palsu atau pun yg sangat Lemah tarafnya: "Hadis ini dimaklumkan sebagai sebuah hadis yg mengandungi fadilat Rejab - "Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku"..... Hadis in mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama' mengatakan hadis ini Palsu! .... yakni penipu.. Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama.
Di situ ada hadis yg mengatakan terdapat Fadilat Rejab kepada sesiapa yg bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yg meminta beristigfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini.... Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration), dan semuanya adalah pembohongan. Dari ini satu tanda satu penipuan di dalam Hadis yg memasukkan perkara yg berlebih-lebihan...."
c. Ganjaran yg dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya.
Pada beliau ganjaran-ganjaran yg dinyatakan di dalam Hadis Palsu itu adalah sesuatu yg berlebih-lebihan. Ini merupakan satu pendustaan yg amat besar. Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadat itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadat itu sendiri. Katanya : "Berkata ulama': Janji untuk mendapatkan ganjaran yg besar di atas perkara yg biasa, atau ugutan kepada azab yg pedih ke atas dosa kecil? Ia menunjukkan bahawa ini merupakan Hadis yg bohong."
d. Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis hadis yg Palsu
Dr Yusuf Qardhawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai hadis yg diberikan kepada kita. Tidak ada alasan yg boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yg banyak dipasaran mengenai taraf sesuatu hadis.
Kata beliau: "Ulama' telah memberi amaran contohnya keatas Hadis Palsu dan Bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya... sesungguhnya telah datang hadis:
"Barangsiapa mereka-reka Hadis difikirkan, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong....." (Riwayat Muslim di dalam muqadimahnya yg Sahih), tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadis Palsu, maka ia wajib mengetahui, mengetahui hadis itu dari sumbernya .... maka di sana ada Kitab Hadis yg Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadis Palsu, contoh Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb.........."
3. Ibnu Hajar Al-Asqalani
Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Kenyataan ini dapat di lihat didalam fatwa Shiekh Al-Saqr[5] mengenai fadilat Rejab dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:
"Ibnu Hajar di dalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan terdapat hadis-hadis yg melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata : Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yg berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad (niat) yg bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yg dia berpuasa, atau pada malan tertentu dia berqiamullail, maka beliau percaya yg dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yg baik atas apa yg diletakkan dan tidak mengapa baginya. Maka jika ianya dikhaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah DITEGAH (Mahzhur), dan makna penegahan itu dialam hadis Nabi saw bersabda: "Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan [mengkhaskan] malamnya berqiamullail". - riwayat Muslim. Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainya yg di dalamnya terkandung puasa nazar, Ibnu hajar lebih cederung menegahnya, dan sebagaimana yg dinaqalkan oleh Abi Bakar Al-Thorthorshi didalam bukunya "Bid'ah wa hawadith" bahawa bulan Rejab dibenci olehnya kerana 3 jenis:
1. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.
2. Menjadikan ia seperti kefarduan ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yg kekal.
3. Kerana puasa ini mempunyai fadilat khas dan puasa-puasa yg lainnya kalau dengan itu apa yg dijelaskan oleh Rasulullah saw, : berkata Ibnu Dihya :
"Puasa adalah amalan kebajikan". Tidak terdapat fadilat berpuasa didalam Rejab maka perkara itu ditegah darinya. Tamat apa yg dinaqalkan oleh Ibnu Hajar."
4. Dr. Sayid Saabiq
Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq didalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa:
"Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yg berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram". Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadilat-fadilat yg sama. Pendapat juga di sokong oleh mazhab Hanbali yg mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh [6].
------
Hadis-hadis fadilat Rejab yg palsu atau dhaif
Di bawah ini disenaraikan beberapa contoh hadis-hadis palsu berkenaan dengan fadilat Rejab:[7]
a. Barang siapa yg mengerjakan solat Magrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan Qul Hu Allahhu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salam pada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya? - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Diriwayatkan oleh Al-Jauzaqanniy dari Anas, kemudian beliau berkata hadis ini adalah Palsu.
b. Barang siapa yg melakukan solat pada malam Nisfi Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A'uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A'uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat ke atas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya terdapat beberapi Rawi yang majhul.
c. Barang siapa yg berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan. - Hadis sangat Dhaif.
*Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama: Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yg Matruk. *Ibnu Hajar Al-Asqalaaniy telah menjelaskan bahawa para ahli hadis telah sepakat, bahawa hadis ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yg Dhaif.
d. Barang siapa yg berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yg berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yg berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan di hisab dengan hisab yg mudah. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Tidak disahkan hadis ini kerana rawi yg bernama Abaan merupakan rawi yg Matruk. *Selain dari itu ada rawi yg bernama Amar bin Al-Azhar yg sangat suka memalsukan hadis.
e. Barang siapa yg berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama Ismaail, dia adalah seorang rawi yg suka berdusta.
f. Barang siapa yg menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Hussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa hadis ini Mawdhu'.
---------------
Bagaimana beramal di dalam bulan ini?
a. Shiekh Mahmud Al-Sya'rawi [8] di dalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakan bulan dari bulan-bulan 'am yg afdal manusia berpuasa selepas bulan Ramadan, beliau memetik hadis berikut diriwayatkan oleh Musnad Ahmad:
"Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah saw,katanya: Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah saw berkata: Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari Taubat Allah swt ke atas satu kaum, dan terdapat taubat di dalamnya untuk satu kaum yg lain"
Jelas di sini menunjukkan bulan-bulan haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah swt di dalam bulan-bulan ini.
b. Bekas Mufti besar Arab Saudi, Shiekh Abdul Aziz Bin Baaz apabila ditanya berpuasa pada bulan-bulan haram, Beliau menjawab [9]:
"Bulan Muharam dari segi syara' dibolehkan berpuasa dengannya dan begitu juga Sya'ban, disana terdapatnya 10 Zulhijjah, bukanlah ada dalil disan keatasnya, akan tetapi berpuasa dengannya TANPA ber'itiqad yg khusus (khas) atau pribadi, maka tidaklah menjadi masalah." Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah saw pernah bersabda: ((Seafdal-adfal berpuasa selepas ramadan ialah di bulan Allah Al-Haram)). Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yg baik, begitu juga dengan Sya'ban di mana Nabi saw berpuasa dengannya"
c. Seorang Ulama' Islam dari negara Syria yg terkenal pada masa kini, Dr Wahbah Zuhaily mengatakan bahawa, kebanyakkan iman empat mazhab (Syafiie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat di dalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya. Kata Dr Wahbah Zuhaily[10]: "Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat di sisi Mazhab Maliki dan Syafiie, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa di bulan Haram, pada mereka itulah puasa yg afdal selepas Ramadan, telah bersabda Rasulullah saw: ((Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadan ialah di bulan Allah Al-Haram)). Seafdal puasa di bulan haram ialah Hari Al-Asyura', sebagaimana di antaranya. Dan berkata mazhab Hanafiah: Sunat berpuasa di dalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu:- Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu."
d. Shiekh Abdul Rahman Al-Jaziry didalam buku Kitab Fikh Empat Mazhab [11] juga memetik persetujuan 4 mazhab ini mengenai puasa di bulan-bulan haram, katanya: "Mengenai sunat berpuasa dibulan Rejab dan Sya'ban, Imam-imam ini telah bersetuju dengannya, cuma terdapat khilaf dengan hanbali......... Hanbali: Menetapkan puasa Rejab (secara tunggal) adalah makruh, melainkan jika ia berbuka (tidak berpuasa) secara selang-seli, maka tidaklah Makruh."
e. Panelist fatwa IslamOnline, Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bid'ah, beliau telah menjawab [12]:
"Berpuasa di dalam bulan adalah maqbul dan mustahab, ke atas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah saw bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadhan. Beliau banyak berpuasa di dalam bulan Sya'ban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah nabawiyyah ... Beliau berpuasa dan berbuka disetiap bulan, seperti riwayat mengatakan: ((Beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, Beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa)) (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan Rejab, sebagaimana yg kita lihat sebelum ini, Aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal, dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh", selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yg ke 8 dari Syawal.... Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling berhubungan, mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari A'id. INI TIDAK DATANG DARI NABI SAW, atau pun dari para sahabat atau pun dari Al-Salaf Al-Saleh.. maka mereka berpuasa sehari dan berbuka sehari. Tidak ada berterusan didalam puasa. Semua kebaikan adalah menurut Salaf dan keburukan adalah dari rekaan para Khalaf. Barangsiapa yg ingin ber'iitiba' dan inginkan ganjaran, maka ia harus mengikur Nabi saw di mana tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Rejab, dan tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Sya'ban. Dan ini adalah yg lebih utama. Wa Billahi Tawfiq."
Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram, tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Sya'ban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw, atau sahabat-sahabatnya ataupun para ulama' Salaf.
---------
Puasa-Puasa sunat yg lain
Syeikh Muhammad Mutawali Al-Sya'rawi didalam fatwanya[13] menjawab persoalan mengenai puasa-puasa sunat, beliau telah menyenaraikan 8 jenis puasa yg beliau sifat sebagai: "Puasa yg orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah" Puasa-puasa sunat (suka rela):
"1. Hari Arafah (9 Zulhijjah kepada mereka yg tidak menunaikan Haji.
2. Hari Asyura', disitu ada hari 9 atau mana-mana hari 9 atau 10 Muharam.
3. 6 hari didalam bulan Syawal.
4. Hari-hari Putih didalam bulan-bulan Arab (islam) iaitu:- hari 13,14 dan 15.
5. Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis didalam setiap minggu.
6. Berpuasa di dalam bulan-bulan haram iaitu:- Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
7. Berpuasa mana-mana dari 9 hari dari bulan Zulhijjah, dari 1 hingga 9 Zulhijjah.
8. Berpuasa penuh didalam Sya'ban atau dengan banyaknya."
Para Fuqaha' berpendapat jika seseorang itu ingin melakukan puasa sunat, tetapi dia masih mempunyai baki puasa wajib, hendaklah ia mengqada'kannya. Bahkan jika ia mempunyai kifarat dan nazar, maka hendaklah dia melakukannya puasa itu dahulu.[14]
Kesimpulan
1. Hadis-Hadis Bulan-Bulan Rejab kebanyakkannya adalah Mawdhu (Palsu). Pendustaan terhadap Rasulullah saw. (Al-Saqr)
2. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yg tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus. (Hadis Nabi saw)
3. Tidak ada fadilat KHAS yg ditujukan pada bulan Rejab, yg ada cuma fadilat umum kepada keempat-empat bulan-bulan haram.(Al-Saqr, Al-Qardawi)
4. Tiada ada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab (Al-Saqr, Al-Qaradawi).
5. Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yg lain disunatkan melakukan Puasa dan bertaubat. (Al-Sya'rawi)
6. Keadah berpuasa di dalam bulan-bulan haram ialah:
- hari yg ke 9,10,11 di dalam bulan Muharam (Bin Bazz)- berpuasa hari Khamis, Jumaat, Sabtu (Hanafiah -Al-Zuhaily) - Berpuasa pada bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'ban tidak sepenuh bulan (Al-Qardhawi) - berpuasa pada hari Assyura' (10 Muharam) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).
7. Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yg lain, kecuali kelebihan bulan-bulan Haram.(Syed Sabiq)
8. Tidak boleh HANYA berpuasa di bulan Rejab sahaja, di mana 3 bulan-bulan yg Haram yg lain tidak langsung diberi keutamaan melakukan puasa (MazhabHanbali- Al-Jaziry)
9. Tidak ada dalil yg mengatakan bahawa menziarah kubur di dalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.
10. AWASLah dari terlibat menyebarkan HADIS-HADIS PALSU, kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yg MENDUSTAKAN Rasulullah saw. (Na'uzubillahhu min zalik).
Dalam mempertingkat amalan-amalan kita kepada Allah swt, sering kali kita disajikan dengan pelbagai-bagai amalan yg kelihatan banyak fadilatnya. Malah ada juga kedapatan beberapa fadilat-fadilat yg sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi persoalan-persoalan seperti fadilat Rejab atau bulan-bulan yg lain, kita mesti kembali kepada 'role model' atau contoh kita, iaitu Rasulullah saw sebagaimana firman Allah swt didalam surah Al-Ahzab ayat 21:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" [Al-Ahzab - 21].
Akhir kata, Selamat menyambut kedatangan bulan-bulan Haram sebagaimana yg telah diajarkan oleh Rasulullah saw. wassalam
kamin - 2hb Rejab 1422H ===============
Rujukan :
[1] Budiman Radzi. Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar : Muzakkir Enterprise, 1990.
[2] Tafsir Jalalain. Harf.com. URL : http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp
[3] Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249
[4] Shiekh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - kesahihan fadilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID=1308
[5] Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID=10249
[6] Sayyid Sabiq. Fikh Al-Sunnah. Beirut : Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995 (cetakan khas dari manar Al-Dauliyah). ms 596.:
[7] Prof. Madya Dr. Farid Ahmad Mohd Isa Jalil. Himpunan hadis-hadis lemah & palsu. Kuala Lumpur : Syarikat Nurulhas.
[8]. Shiekh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000. ms. 371.
[9] Syiekh Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' Fatawa. Riyad : Dar Al-Watan, 1996 ms. 269.
[10] Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu. Damsyik : Dar Al-Fikr, 1989. ms 591.
[11] Abdul Rahman Al-Jaziry. Kitaabu Al-Fikhu a'la al-Mazaahibi Al-Arba'ah. Dar Al-Manar, 1999. ms447-448
[12] Shiekh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID=1310
[13] Sheikh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000. ms 415
[14] Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu.Damsyik : Dar Al-Fikr, 1989. ms 595.
http://search.yahoo.com/search?p=fadilat+bulan+rejab&ei=UTF-8&fr=FP-tab-web-t&cop=mss&tab=http://noradila.tripod.com/skimatarbiyyahipij/id119.html
No comments:
Post a Comment